facebook KLIK PANGKAH UNTUK TUTUP Button Close
loading...

ALLAHUAKBAR !!! 7 Tips 3 Anak Kecil Dididik Untuk Hafal Juz 30




SAYA kongsikan sedikit teknik dan pengalaman saya dan isteri melatih anak-anak menghafal al-Quran pada usia muda. Kami mempunyai tiga anak berumur 6, 5 dan setahun.


Anak sulung dan kedua saya lelaki. Orang kata, anak lelaki sukar untuk fokus menghafal berbanding anak perempuan. Jawapan saya mudah. Setiap anak  sama ada lelaki atau perempuan boleh menghafal, cuma ada cepat dan ada sedikit lambat.



Antara tip yang digunakan adalah:-





Tip 1 : Mainkan audio Quran terbaik sepanjang masa di rumah dan dalam kenderaan.



Teknik ini bagi kami paling asas untuk menimbulkan minat awal anak terhadap al-Quran. Ini kerana deria manusia pertama yang memberi respons dalam pembelajaran ialah melalui pendengaran sebelum penglihatan dan sentuhan. Kami belikan pembesar suara yang baik dan CD audio Syeikh Misyari Al-Fasi ‘original’ untuk menarik minat pendengaran anak. Pernah dahulu kami hanya pasang melalui ‘handphone loudspeaker’ dan ‘burn’ CD dalam format MP3, tetapi bingit telinga bila terlalu lama mendengarnya.





Tip 2 : Abang long ‘The Trendsetter’



Teori ini kami ambil daripada buku keluaran Profazz dan digunakan dalam mendidik anak-anak khususnya ketika proses menghafaz Quran. Teori ini menceritakan segala tindak tanduk anak sulung akan diikuti adik-adiknya. Fokus utama adalah anak sulung kami, Syed Faqihuddin.





Tip 3: Latih anak menghafaz secara konsisten seawal umur 5 tahun



Sebelum 5 tahun, anak boleh didedahkan dengan sebutan makhraj huruf, kalimah ALLAH SWT, nyanyian doa, zikir secara santai. Ketika umur mereka masuk 5 tahun pada bulan Januari, ibu bapa perlu ambil serius kerana anak sudah bersedia ketika ini. Belikan muqaddam bersaiz besar, sediakan jadual surah dan beli CD. Jangan terkejut jika mereka menghafal perkara lain seperti iklan, lagu dan sebagainya jika tidak dilatih menghafal Quran ketika ini. Kami biasa lihat gelagat anak bila dia lipat baju dan bermain basikal, mulutnya membacakan ayat-ayat Quran, mungkin itu hiburannya.



Alhamdulillah, hujung Disember tahun lepas, anak sulung selesai menghafal keseluruhan juz 30 pada umur 5 tahun. Kini dia mula menyambung semula hafalan bermula dengan Surah Yasin di samping pengulangan juz 30 mengikut jadual disediakan.







Tip 4 : Kurangkan/tidak menonton televisyen/gajet elektronik



Anak kami tidak dibenarkan menonton Ultraman mahupun Frozen atau seangkatan dengannya. Hafalan anak pernah terjejas disebabkan menonton televisyen sebelum ini. Fikiran agak khayal dan kurang fokus kesan daripada peralatan elektronik tersebut. Mereka tidak kenal sangat kartun kerana tidak pernah menonton cerita ini di rumah. Jika mereka ternampak di kedai, kami segera alihkan perhatian mereka kepada perkara lain.



Orang kata, apabila berkawan di sekolah nanti, dia kenal juga. Justeru, itulah peranan ibu bapa dalam memberi kefahaman kepada mereka. Maka, anak boleh hilang minat dengan mainan yang tidak realistik ini. Jika sekali-sekala menonton mungkin tiada masalah, asalkan rancangan ilmiah. Sebaiknya, ibu bapa ada bersama-sama menonton ketika itu.





Tip 5 : Ibu bapa perlu cuba menghafal, jangan sekadar mengarahkan



Anak seronok bila mereka tahu kami turut menghafal surah yang mereka hafal. Timbul suasana pembelajaran yang menarik. Kadang-kadang kami tasmi’ (perdengarkan) bacaan kepada mereka, kami silapkan sedikit bacaan untuk mereka tegur kesalahan kami. Suasana tasmi’ ini boleh dilakukan dalam keadaan santai seperti sedang melipat pakaian, dalam kenderaan dan lain-lain.





Tip 6 : Mulakan dengan surah mudah



Mudah bukan bermaksud pendek, tetapi ayatnya mudah dilafazkan dan tidak banyak pengulangan sebutan yang hampir sama. Ini penting bagi mengelakkan anak rasa susah di peringkat awal. Juz 30 ada 37 surah. Kami pecahkan kepada dua bahagian.



Bahagian satu adalah surah versi pendek yang mudah bermula dengan Surah An-Nas dan berakhir dengan Surah Ad-Dhuha kerana sering dibaca dalam solat. Kami ikut turutan, cuma Surah Al-Bayyinah terakhir dihafal. Adapun pada bahagian kedua iaitu Surah Al-Layl hingga Surah An-Naba’, kami tidak mengikut turutan. Kami mula dengan Surah As-Syams dan berakhir dengan Surah At-Takwir.





Tip 7 : Bercerita



Gunakan teknik penceritaan supaya anak tahu dan menguatkan lagi minat mereka untuk menghafal. Contohnya, sebelum baca Surah Al-Fiil, kami ceritakan kepada anak mengenai hebatnya ALLAH dalam menewaskan gajah dan tentera Abrahah. Ini sekali gus menguatkan akidah mereka. Semua surah ini diturunkan di Makkah yang menekankan bab akidah melainkan dua surah iaitu Surah An-Nasr dan Surah Al-Bayyinah.



Inilah sempat dikongsikan, mungkin anda ada cara lebih baik. Kami usaha dengan kemampuan yang ada, niat kami supaya anak kami dekat dengan Quran, dekat dengan penciptanya. Selamat beramal dan istiqamahlah!



SYED MOHD AIZUDDIN TUAN SEMBAK & NAFISAH ABDUL LATIF, 

Penulis adalah pembaca Rehal dari Tangkak, Johor




Tips Didik Anak 5 Tahun Hafaz 30 Juzuk al-Quran 

loading...
ALLAHUAKBAR !!! 7 Tips 3 Anak Kecil Dididik Untuk Hafal Juz 30 ALLAHUAKBAR !!! 7 Tips 3 Anak Kecil Dididik Untuk Hafal Juz 30 Reviewed by Unknown on 11:31 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.